Pages

Friday, November 12, 2010

Kenapa kamu menangis?

Jam di handphone menunjukkan digit pukul 5.05 p.m. Bermakna masa bekerja sudah tamat untuk hari ini. Hari ini sudah tamat untuk kerja tapi belum tamat untuk kehidupan. Kerana kehidupan akan berterusan sampai bila-bila. Infiniti. Jari kanan menekan tetikus lalu dihalakan ke butang 'windows' > 'shut down'. Menggunakan sistem pengoperasian (os) microsoft windows 7 memang mudah dan meyakinkan diri. Selepas 15 saat, skrin monitor terus gelap dan lampu biru di casing terus hilang menandakan PC telah berjaya dimatikan.

Diri dibangunkan lalu kaki melangkah menuju keluar dari bilik sambil membawa beg laptop yang disandangkan di belakang. Gaya beg laptop yang terbaru untuk kesenangan pengguna laptop. Rasanyalah. Setelah mem'punch'kan kad kehadiran, kaki melangkah dengan hati yang senang menuju ke parking kereta. Sukanya hati meninggalkan pejabat dengan kerja yang selesai dilaksanakan walaupun jauh di sudut hati merasakan senarai tugas belum diselesaikan sepenuhnya. Namun apa yang pasti, segala tugas yang diamanahkan pada hari itu telah berjaya dilaksanakan. Alhamdulillah, itulah ucapan yang paling mudah dan sesuai sekali untuk diucapkan sebagai tanda dan simbolik kesyukuran kita sebagai hamba yang serba lemah kepada sang pencipta yang Maha Agung.

Key Immobiliser ditekan pada butang hijau untuk membuka kunci pintu kereta dari jarak jauh. Tak jauh sangat pun, adalah dalam 50 meter. Setelah enjin dihidupkan, perjalanan pulang ke rumah bermula dengan penuh ketenangan. Ketika asyik memandu, termenung seketika memikirkan kehidupan yang penuh dengan cabaran dan ujian. Ahmad merupakan nama yang diberikan oleh kedua orang tua menjadi titik tolak kepada perangai dan sifat Ahmad yang suka memikirkan tentang kehidupan, bukan sahaja kehidupan diri sendiri malah kehidupan orang lain. Adakah kerana namanya diambil bersempena dengan Rasul dan Nabi terakhir? Sebagai seorang manusia yang penuh dengan rasa jujur, kasih sayang, amanah dan bermacam-macam lagi sifat kebaikan (mahmudah) ada pada baginda Rasul. Memang tidak dinafikan nama memang amat memainkan peranan yang penting dalam membentuk jiwa manusia dan rohnya. Kata bijak pandai ~ nama melambangkan jiwa dan roh kita. Jika baik panggilan nama kita, maka baiklah kita, alhamdulillah, Jika jahat panggilan nama kita, maka jahatlah kita, nauzubillah. Ia umpama doa dan permintaan kita pada seseorang atau pada diri sendiri.

Ketika asyik berfikir panjang, Ahmad lalu di hadapan seorang budak yang menangis sambil memanggil ibunya. “Mama, mama…”. Mungkin ibunya pergi ke mana-mana tapi anaknya tak tahu ibunya ke mana. Ataupun budak tersebut tersesat jalan. Kasihan… “Kenapa kamu menangis?” tanya Ahmad. “Mama kat mana?, mama kat mana?” jawab budak itu. Begitulah jawapan seorang budak yang kehilangan ibunya. Manja dan tak tahu nak buat apa. Sebab itulah budak-budak tidak boleh dibiarkan jalan berseorangan di khalayak ramai kerana otaknya masih belum mampu untuk menghadapi pelbagai suasana dan situasi yang lain dari yang lain. Kemampuan berfikirnya amat terbatas pada perkara-perkara yang menyeronokkan sahaja. Begitulah fitrah kejadian manusia. Kemudian ia akan berkembang dari setahun ke setahun.

Ahmad menunggu budak tersebut sehinggalah ibunya datang. Suka dan gembiranya ibu apabila melihat anaknya selamat dan ada. Ibunya mengucapkan terima kasih kerana tolong menjaga anaknya sepanjang pencariannya. Selepas itu, Ahmad terus meninggalkan tempat tersebut dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Kenapa kamu menangis? Itulah persoalan kita kepada seseorang yang menangis dalam situasi yang bermasalah. Jarang benar kita tengok orang yang menangis kerana gembira. Itu pun jika kegembiraan tersebut mencapai tahap melampaui batas. Rasanyalah..hehehe… Cerita Ahmad itu merupakan luahan kasih seorang manusia yang masih ada rasa manusiawi pada manusia yang lain. Alhamdulillah masih ramai lagi manusia yang macam ini pada zaman kita ini. Walaupun ada juga manusia yang tidak manusiawi. Tak ramai, boleh bilang dengan jari telunjuk. Harapan kita agar angka ini masih tetap dengan angka tersebut dan tidak bertambah malah makin berkurangan sehingga zero.

Kenapa kamu menangis? Sesetengah orang mudah menilai seseorang budak sebagaimana dirinya. Itu yang pelik tu. Mana nak sama gajah dengan kancil. Saiz pun dah ketara bezanya. Ada orang dewasa yang suka bertanya kepada seorang budak yang kecil dengan kasar dan dengan herdikan yang kuat. Ada juga sehingga ke tahap pukul memukul. Ada ke patut dengan budak-budak kecil macam tu pun nak buat macam musuh dan lawan boxing kita? Alangkah hinanya perangai dan akhlak manusia yang jenis macam ni. Ini bukan saya yang kata tapi agama kita yang suruh. Islam menyuruh kita agar berbuat baik sesama manusia tidak kiralah manusia tu muda ke, tua ke, lelaki ke, perempuan ke, semuanya sama rata. Adil dan saksama. Jika kita berhasrat nak tegur budak tu pun, kenalah tapis dulu bahasanya. Jangan main redah saja. Kita boleh saksikan sendiri dengan mata kepala kita bagaimana kanak-kanak diperlakukan dengan jahat, kasar dan zalim sekali di dada akhbar. Bukti mudahnya ialah bayi yang dibuang di merata-rata tempat umpama sampah. Sedarkah bahawa perbuatan itu sebagaimana yang kita semua sedia maklum adalah perbuatan dosa yang tidak akan terampun sehinggalah kita bertaubat nasuha kerana dosa tersebut dikategorikan juga sebagai dosa besar.


Mereka amat memerlukan kasih sayang semua. Bukan sekadar kasih sayang ibubapanya bahkan kasih sayang dari semua manusia tanpa mengira agama, bangsa dan latarbelakang diri. Jika kita benar-benar cakna dengan masyarakat kita maka sesungguhnya itulah satu-satunya cara untuk kita membendung segala fitnah yang semakin dahsyat melata di sekeliling kita sekarang ini. Setelah ditanya "Kenapa kamu menangis?" jawapannya adalah "Mana mama? mana mama?". Itulah sebagai tanda kasih sayang yang semakin meruncing dan tenggelam timbul dalam masyarakat kita. Kenapa kamu menangis?

No comments:

Post a Comment